Rang Undang-Undang Pekerja Gig harus dielakkan daripada menjadi sebuah jenaka. Tidak dapat dinafikan bahawa pekerja gig di negara ini perlu diberikan perlindungan dan hak seperti mana pekerja-pekerja lain. Namun begitu, tiada keperluan untuk memberikan kelonggaran kepada syarikat apabila ia melibatkan hak asasi pekerja, termasuk hak untuk menubuhkan atau menyertai kesatuan sekerja dan bernegosiasi secara kolektif dengan majikan mereka.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kepimpinan barunya dilihat telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah diantara Presiden dan Setiausaha Agungnya Kementerian Sumber Manusia pula tampaknya dilihat secara tergesa-gesa meluluskan rang undang-undang ini, dan tindakan tersebuti sebenarnya merugikan pekerja gig di negara ini.
Satu proses perundingan dan konsultasi yang menyeluruh dan teliti dengan MTUC, yang semestinya dilaksanakan secara jujur, adalah sangat penting untuk memastikan rang undang-undang ini benar-benar menjaga kepentingan pekerja gig. Kita boleh menjangkakan bahawa para majikan akan menentang sebarang bentuk perlindungan sosial untuk pekerja kerana ia boleh menjejaskan matlamat mereka yakni untuk memaksimumkan keuntungan tanpa mengambil kira kosnya. Hak asasi manusia dan hak pekerja bukanlah perkara yang boleh dikompromi.
Kementerian Sumber Manusia kelihatan lebih berminat mempromosikan diri dan Menterinya, berbanding dengan benar-benar memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja, khususnya golongan miskin. Kini secara sejagat diakui bahawa pekerja gig adalah antara kategori pekerja yang paling mudah dieksploitasi, di mana amalan pekerjaan yang tidak menentu seolah-olah telah diterima menjadi norma. Kerajaan Madani, dengan penekanan terhadap peningkatan taraf hidup golongan miskin, semestnyai mengambil serius bagaimana rang undang-undang ini hendak diluluskan.
Kerajaan tidak seharusnya mengambil kesempatan atau memburukkan lagi perpecahan dalam kalangan pimpinan MTUC. Pada masa lalu, kerajaan Malaysia sering mengujudkan perpecahan seperi ini untuk melemahkan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini. Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor telah dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Am / General Council MTUC telah meminta penangguhan dalam pelaksanaan kelulusan Rang Undang-Undang tersebut supaya ia dapat diteliti dengan betul.
Akan sentiasa wujud pemimpin kesatuan pekerja, dan sudah jelas siapa mereka di Malaysia ini, yang akan sentiasa cuba mengambil hati kerajaan yang memerintah sekarang demi kepentingan sendiri, dan dalam proses itu menggadaikan hak-hak pekerja di negara ini. Kementerian Sumber Manusia kelihatannya tidak membantu diri mereka sendiri apabila mereka cuba mendapatkan sokongan daripada pemimpin kesatuan pekerja seperti ini. Ia adalah satu susunan yang rapuh dan akan membawa kesan politik yang buruk kepada kerajaan itu sendiri pada masa akan datang.
Saya ingin menggesa Menteri Sumber Manusia agar melakukan perkara yang betul dengan merujuk dan berbincang secara langsung dengan pimpinan MTUC dalam suasana yang wajar sebelum Rang Undang-Undang Pekerja Gig dilaksanakan di negara ini.